PENGENALAN

Matlamat Penganjuran adalah Memberi kesedaran kepada mahasiswa dan mahasisiwi kepentingan mencintai alam sekitar dalam membantu menyelamatkan bumi .

Friday, March 13, 2009

Berita : Bahaya Politerin Terhadap Alam Sekitar

Sudah Tiba Masa Polisterin Diharamkan

S. M. Mohamed Idris | Tuesday, 17 February 2009

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin menarik perhatian Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang khasnya serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar amnya terhadap penggunaan bekas makanan dan cawan polisterin sewaktu sambutan Thaipusam di kedua-dua negeri berkenaan.

CAP telah menjalankan satu tinjauan dan pengumpulan data secara rambang di kedua-dua negeri berkenaan yang pada amnya menjadi tumpuan terbesar penganut agama Hindu dan pelancong luar negara sewaktu sambutan Thaipusam.

Tinjauan dan pengumpulan data ini dibuat bagi mendapatkan satu gambaran secara kasar terhadap bilangan penggunaan bekas makanan dan cawan polistiren ini.
Hasilnya amat mengejutkan apabila di Selangor pihak kami dapat menganggarkan sebanyak 630, 000 bekas makanan dan cawan polistiren digunakan berbanding di Pulau Pinang sebanyak 347, 000 digunakan.

Pengumpulan data yang dibuat daripada satu khemah ke satu khemah selama dua hari ini turut membabitkan pengedaran makanan percuma dalam bekas makanan polistiren yang mencecah 40, 000 pada satu-satu masa.

Data ini belum lagi mengambil kira sambutan Thaipusam di negeri-negeri lain seperti Kedah, Johor mahupun Perak.

CAP amat memandang serius akan bilangan penggunaan polistiren yang mencecah angka satu juta dalam masa dua hari saja.

Walaupun terdapat dakwaan bahawa misalnya polistiren ini masih boleh diklasifikasikan sebagai sesuatu yang tidak membahayakan persekitaran namun hingga kini tiada fakta saintifik untuk menyokongnya.

Pertubuhan alam sekitar antarabangsa, Californians Against Waste misalnya mengklasifikasikan polistiren ini sebagai ancaman masa depan yang mampu mewujudkan revolusi hijau yang menganggu gugat elemen pembangunan mapan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Institute for Energy and Environmental Research (IEER) pada tahun 1992, polisterin yang dihasilkan dengan menggunakan HCFC-22 berkeupayaan mengancam persekitaran 3 hingga 5 kali lebih tinggi berbanding bahan-bahan buangan yang lain.

Malah Foundation for Advancements in Science and Education (FASE) pula menyatakan bahawa styrene, komponen utama dalam polistiren ini berpotensi untuk bercampur dengan makanan panas yang dimasukkan ke dalam bekas makanan polistiren.

Malah Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat menyenaraikan polistiren sebagai bahan buangan yang ke lima paling bahaya untuk persekitaran serta mengancam sumber semulajadi.

Sehubungan dengan itu, CAP menggesa semua pihak di semua negeri untuk memainkan peranan penting dalam menghentikan penggunaan polistiren ini, bukan sahaja sewaktu sambutan Thaipusam tetapi juga untuk semua majlis dan sambutan rasmi.

Apa yang berlaku di dua negeri berkenaan adalah sesuatu yang amat dikesali sedangkan semua pihak mampu memainkan peranan dalam menggunakan bekas makanan dan cawan yang boleh di kitar semula seperti daun pisang ataupun seperti yang dipelopori oleh Universiti Sains Malaysia yang menggunakan bekas makanan mesra alam.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga perlu agresif dalam merangka satu mekanisma dalam mengurangkan bekas makanan dan cawan polistiren di majlis-majlis rasmi kerajaan termasuk sewaktu sambutan perayaan peringkat kebangsaan.

Selagi satu usaha agresif tidak dipraktikkan dalam menyahkan penggunaan polistiren maka adalah sukar untuk mengharapkan masyarakat melakukan anjakan paradigma dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.

No comments:

Post a Comment